Tuesday, November 4, 2008

pelik prangai...

KOTA BHARU 4 Nov. - Orang ramai di sini gempar pagi ini apabila seorang pelajar institusi pengajian tinggi mengancam terjun bangunan bagi mengelak ditangkap oleh anggota pencegah maksiat kerana dipercayai berkhalwat.

Pemuda berusia 21 tahun itu dikatakan cuba terjun dari bumbung sebuah hotel bajet di Jalan Pengkalan Chepa hingga memaksa pasukan bomba dan penyelamat dipanggil bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Ibunya turut dipanggil untuk berada di tempat kejadian bagi memujuk dan mententeramkan keadaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi pemuda itu bersama pasangannya, pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di sini, telah memecahkan siling untuk melarikan diri ke bumbung hotel berkenaan.

Mereka dikatakan nekad berbuat demikian selepas sepasukan anggota dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) menyerbu bilik hotel dan mengetuk pintu bilik pasangan berkenaan tetapi tidak dibuka.

Selepas mendengar bunyi yang pelik, anggota terbabit bertindak memecah masuk ke dalam bilik dan mendapati siling bilik dipecahkan oleh pasangan itu yang melarikan diri ke bumbung bangunan dua tingkat itu.

Mereka cuba memujuk pasangan tersebut turun dan menyerah diri tetapi hanya si gadis berbuat demikian manakala pemuda itu berdegil dan mengancam untuk membunuh diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supritendan Idris Abd. Rafar ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kejadian itu.

Katanya, tiga buah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima aduan daripada JHEAIK sebagai persediaan untuk menghadapi kejadian yang tidak diingini.

"Pemuda itu bagaimanapun ditahan pada pukul 11.45 pagi selepas pegawai JAHEIK, polis dan bomba berjaya memujuknya supaya turun dari bumbung hotel itu.

"Tindakan suspek yang mengancam untuk berbuat demikian telah menarik perhatian orang ramai yang memenuhi kawasan berkenaan," ujarnya.

Pasangan berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Kota Bharu untuk siasatan sebelum diserahkan kepada JHEAIK.

No comments: