Tuesday, October 13, 2009

apakah harapan mereka masih ada untuk hari esok?


AIR matanya tidak henti mengalir. Sepanjang sidang akhbar itu, dia hanya menangis dan terus menangis.

Winnie Chen masih berharap. Kini sudah 14 bulan dia bergantung 'nyawa' kepada alat bantuan denyutan jantung (VAD) untuk terus bernafas. Dia sedar, usia 'teman karibnya' itu sudah semakin hampir.

"Setiap pagi, saya bangun dari tidur dan berharap ada keajaiban yang berlaku. Saya juga ingin hidup sihat dan bahagia seperti orang lain. Saya tidak pasti bila ia akan berlaku, namun saya akan terus menanti," katanya sambil mengesat air mata yang deras mengalir.

Winnie merupakan pesakit jantung kronik yang menjadi penghuni setia Institut Jantung Negara (IJN) sejak lebih setahun lalu dan diberi keutamaan untuk pemindahan jantung.

Walaupun media berterusan memaparkan rayuannya bagi mendapatkan jantung baru, namun hingga kini ia masih samar.

Pun begitu, ibu tunggal ini masih cekal untuk meneruskan hidup, demi anak lelakinya yang kini berusia lima tahun.

"Tahun depan dia akan memasuki prasekolah. Sebolehnya saya ingin menemaninya pada hari pertama sesi persekolahan, sama seperti ibu-ibu lain," katanya lagi.

Dia mengerti mengharapkan pendermaan organ bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak boleh dipaksa, namun itu harapannya demi meneruskan hidup dan membesarkan anak.

Lain pula keadaan dengan rakan senasibnya, Tan Geek Koon. Berbanding Winnie yang tidak henti mengalirkan air mata, Tan kelihatan tenang dan 'biasa' sahaja.

Namun, sebagai seorang ibu, naluri penulis dapat menangkap riak duka yang terbuku di dadanya.

"Memang sedih namun saya tidak akan berputus asa. Saya mahu membesarkan keempat-empat anak hingga dewasa dan berjaya," katanya dengan tenang.

Lebih menyentuh perasaan tatkala dia menyatakan bahawa anak bongsunya yang kini berusia 13 bulan, sudah tidak lagi mengenali dirinya kerana dia tidak berkesempatan memeliharanya.

"Hanya sesekali saya boleh bertemu mereka. Waktu yang ada itulah saya akan gunakan sepenuhnya untuk melepaskan rindu," katanya lagi.

Berbanding penghujung tahun lalu ketika penulis bertemunya, Geek Koon kini kelihatan sedikit lemah. Sudah 11 bulan dia bergantung kepada alat VAD.

Baru-baru ini, dia mengalami strok di bahagian kiri badan, menyebabkan dia harus menjalani program pemulihan serta fisioterapi. Namun dia tetap bersemangat menjawab setiap pertanyaan dan masih mampu melemparkan senyuman.

Dalam pada itu, Pengarah Klinikal, Program Transplan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata, kekangan paling besar dalam proses pendermaan organ adalah mendapatkan organ itu sendiri.

"Sehingga kini, kita mempunyai segala-galanya. Teknologi, kepakaran, kemudahan dan sokongan daripada semua pihak, namun untuk mendapatkan penderma yang sesuai itu agak sukar," katanya.

Ini katanya, berdasarkan kepada masih kurangnya kesedaran di kalangan masyarakat mengenai pendermaan organ.

"Memang jumlah pendaftaran meningkat, namun terdapat kekangan di saat akhir, antaranya halangan daripada ahli keluarga yang lain," kata beliau.

Selain itu katanya, kesesuaian juga menjadi faktor yang menghalang pemindahan organ. Seperti contoh baru-baru ini terdapat seorang penderma yang meninggal dunia di Kuantan, namun jantungnya tidak boleh digunakan kerana keadaannya yang tidak sesuai.

"Kerana itulah kita terus berharap semakin ramai orang awam tampil mendaftarkan diri sebagai penderma dan yang paling utama sekalipun tidak mendaftar, maklumkan kepada keluarga mengenai kesudian anda sebagai penderma organ," katanya.

Ditanya mengenai usaha seperti mendapatkan organ daripada negara luar, Dr. Mohamed Ezani berkata, terdapat kekangan yang membataskan usaha itu daripada berlaku.

"Jangka hayat organ sangat singkat di luar badan manusia. Contohnya jantung hanya empat jam dan proses untuk memindahkannya sahaja mengambil masa sekitar dua jam. Maka tempoh perjalanan perlu singkat," katanya.

Selain itu, faktor mendahulukan pesakit di dalam negara juga diambil kira.

"Organ adalah aset nasional. Tentulah kita akan dahulukan penerima dari negara sendiri sebelum menawarkan kepada orang luar," katanya.

Menurutnya lagi, buat masa ini 24 pesakit berkaitan dengan kegagalan jantung sedang menanti penderma yang sesuai dan berada dalam senarai teratas adalah Winnie dan Geek Koon.

Antara mereka, tujuh sedang menanti pendermaan jantung, 11 paru-paru dan dua untuk jantung dan paru-paru.

Sejak Januari tahun lalu, IJN menerima 22 penderma yang mana hanya 12 injap jantung boleh digunakan.

Dengan itu, beliau berharap semakin ramai yang sedar betapa pentingnya pendermaan organ demi meneruskan sebuah kehidupan.

Orang ramai boleh menghubungi Pendaftar Penderma Organ Nasional (NTRC) melalui talian 03-26156576/03-26942704 untuk mendaftar atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendermaan organ dan tisu.

Anda juga boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-9080 untuk bercakap dengan koordinator NTRC, bagi mendermakan organ ahli keluarga yang meninggal dunia (mati otak) atau untuk mendaftar sebagai penderma organ.

No comments: